Hadiah Hari Malaysia Kepada Warga Teluk Intan,Dana RM2 Juta Diluluskan Untuk Stadium Mini !

Dalam Majlis Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Teluk Intan, YB Nga Kor Ming telah mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan di bawah pimpinan YB Lim Guan Eng telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk pemasangan lampu stadium mini dan dijangka peruntukan tersebut akan diperoleh sebelum akhir tahun ini.

Selepas peninjauan YB Nga Kor Ming ke stadium mini pada 7 Julai 2018 serta perbincangan dengan tanah milik stadium mini yakni Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pada 13 Julai 2018, Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat II bukan sahaja memperoleh peruntukan RM2 juta daripada kementerian, malah berjaya mendapat persetujuan daripada PPD bahawa stadium tersebut akan dibuka kepada kegunaan semua warga Teluk Intan selepas segala kemudahan stadium siap dibina.

Pembukaan stadium mini kepada semua adalah penting lantaran kini rakyat Teluk Intan hanya boleh bersukan di sekitar pekan iaitu Padang Speedy dan kurangnya satu lagi infrastruktur sedemikian untuk penghuni sekitar Kampung Selabak, Kampung Banjar dan Jalan Padang Tembak.

Selepas pemasangan lampu di stadium mini tersebut yang mempunyai satu trek larian yang mematuhi piawaian International Association of Athletics Federations, maka rakyat Teluk Intan bolehlah bersukan selepas waktu bekerja mahupun waktu malam. Nescaya bahawa pembukaan stadium mini akan lebih menggalakkan budaya kesukanan dalam kalangan penduduk Hilir Perak dan menjadikan rakyat jelata lebih sihat dan cergas.

Gambar: Peninjauan YB Nga Kor Ming ke stadium mini pada 7 Julai 2018 bersama dengan pegawai JKR, ADUN Pasir Bedamar YB Terence Naidu serta Penyelaras Parlimen Teluk Intan Woo Kah Leong.