Adakah PAS berani menyerahkan memorandum bantahan kepada MCA, sekutu baru mereka yang telah melabelkan PAS dan UMNO sebagai Taliban sebanyak 138 kali?

Minggu lepas, saya telah membongkarkan bahawa pemimpin-pemimpin MCA pernah melabelkan PAS dan UMNO sebagai Taliban sebanyak 138 kali dalam kenyataan rasmi mereka. Namun MCA, PAS dan UMNO membisu atas pembongkaran ini, seolah-olah ia tidak pernah berlaku.

Semalam Pemuda PAS telah menyerahkan memorandum bantahan terhadap pemimpin DAP di ibu pejabat DAP. Adakah PAS juga akan menyerahkan memorandum bantahan terhadap pemimpin-pemimpin MCA di ibu pejabat MCA?

Tindakan PAS untuk mensasarkan pemimpin DAP dan bukan pemimpin MCA mendedahkan sikap hipokrit PAS.

Semasa pilihanraya pada tahun 2004, MCA telah menabur wang untuk membuat iklan di suratkhabar Cina dengan gambar Regim Taliban merobohkan patung-patung Buddha untuk menakutkan pengundi-pengundi Cina terhadap PAS.

MCA sampai hari ini tidak menarik sebarang kenyataan yang melabelkan PAS dan UMNO sebagai Taliban. MCA juga tidak pernah memohon maaf atas iklan Taliban dan propaganda untuk menakutkan pengundi Cina. Namun, PAS langsung tidak menyerang MCA sebaliknya menyalahkan DAP.

Saya mencabar PAS supaya membuat bantahan keras yang sama dan menyerahkan memorandum ke ibu pejabat MCA ke atas pemimpin-pemimpin MCA yang melabelkan PAS dan UMNO sebagai Taliban.

_Kenyataan Media oleh Setiausaha Publisiti DAP Perak merangkap Adun Keranji Chong Zhemin pada 19 Mac 2019._